Voice Referendum: Apakah Pemungutan Suara Rakyat Dan Kenapa Australia Mengadakannya?

CANBERRA RECONCILIATION WEEK STOCK

Bulan kelihatan di atas bendera Australia, bendera kaum Orang Asli dan bendera Kepulauan Selat Torres yang berkibar di perkarangan Dewan Parlimen, Canberra, Tuesday, May 30, 2023. (AAP Image/Lukas Coch) NO ARCHIVING Source: AAP / LUKAS COCH/AAPIMAGE

Warga Australia bakal mengundi dalam pemungutan suara rakyat yang akan berlansung pada Sabtu, 14 Oktober, 2023. SBS Melayu menerangkan apakah yang perlu anda ketahui mengenai proses pemungutan suara ini, kenapa ianya perlu diadakan serta segala maklumat penting bagi membantu anda membuat pilihan.


Kerajaan Australia mahu mereka yang layak mengundi menentukan sama ada untuk mengemaskini Perlembagaan Australia bagi mengiktiraf kaum orang asli negara ini menerusi sebuah badan perwakilan yang akan dikenali sebagai Suara ke Parlimen atau Voice to Parliament.

Suara ini akan diwakili oleh kumpulan yang akan dilantik yang bakal menasihati kerajaan negara ini berkaitan segala isu dan hal perundangan membabitkan penduduk asal negara ini atau the First Nation People.

Evan Ekin-Smyth ialah jurucakap Suruhanjaya Pilihanjaya Australia, badan kebangsaan bebas yang mengendalikan pilihanraya di negara ini.

Menurut beliau, “Pemungutan Suara Rakyat ialah pengundian kebangsaan terhadap sesuatu isu bagi menentukan sama ada pindaan kepada perlembagaan sepatutnya dilakukan atau tidak berkaitan isu terbabit.”
Pindaan terhadap perlembagaan hanya boleh dilaksanakan melalui pengundian rakyat jelata. Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan sebarang pindaan.
Evan Ekin-Smyth
Setiap perlembagaan menetukan tatacara sesebuah kerajaan. Ianya menentukan asas bagaimana kerajaan Komanwel, kerajaan negeri dan rakyat jelata berinteraksi, termasuk bentuk perundangan yang boleh diluluskan oleh parlimen negeri dan parlimen persekutuan.

Pengundi akan diberi pilihan sama ada untuk mengundi “Ya” atau “Tidak” terhadap persoalan berikut:

“Sebuah Perancangan Perundangan: membuat pindaan terhadap Perlembagaan untuk mengiktiraf kaum orang pertama Australia melalui penubuhan Suara Orang Asli kaum Aboriginal dan Orang Kepulauan Selat Torres.

Apakah anda menyokong pindaan ini?”
KEMPEN PUNGUTAN SUARA YA 23 SYDNEY
Seorang penyokong menerima lukisan di muka memaparkan bendera kaum orang asli Aboriginal ketika menghadiri majlis Ya 23 untuk menyokong Suara Kaum Orang Asli ke Parlimen, di Sydney, Ahad, July 2, 2023. (AAP Image/Bianca De Marchi) NO ARCHIVING Source: AAP / BIANCA DE MARCHI/AAPIMAGE
Menurut Ekin-Smyth, referendum atau pungutan suara ini hanya akan berjaya sekiranya ia menerima sokongan majoriti dua-kali ganda atau double majority.

Jelas beliau, “Untuk pungutan suara diluluskan, undi "ya" perlu menerima undian majoriti di peringkat kebangsaan dan undian majoriti di peringkat negeri. Ini bermakna sekurang-kurangnya empat daripada enam buah negeri di Australia perlu mengundi "ya".

Tambah beliau, “Wilayah Persekutuan ACT dan Northern Territory tetap mengundi seperti warga Australia yang lain dengan menulis "ya" atau "tidak" di kertas undi. Namun, undi ACT dan NT hanya menyumbang kepada jumlah undi di peringkat kebangsaan dan tidak kepada peringkat negeri. Justeru, undian kedua wilayah ini amat penting bagi menentukan jumlah undi peringkat kebangsaan."

Cadangan Suara ke Parlimen ini akan terdiri daripada sekumpulan orang asli dengan bilangan jantina yang saksama yang akan dipilih oleh golongan masyarakat penduduk asal negara ini untuk mewakili mereka menasihati Parlimen dalam penggubalan undang-undang baru yang menyentuh perihal kaum orang asli.
Badan ini tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang, tidak mempunyai kuasa veto dan tidak mampu membuat peruntukan dana. Parlimen juga akan berfungsi seperti sedia ada.

Professor Megan Davis dari suku kaum asli Cobble Cobble ialah pengerusi pengajian undang-undang perlembagaan di University of NSW.

Beliau adalah sebahagian daripada panel pakar pengiktirafan kaum orang asli Aboriginal dan orang Kepulauan Selat Torres yang mengutarakan cadangan Suara ke Parlimen ini.

Menurut beliau, negara lain turut memperkenalkan model yang sama.

“Pungutan suara ini adalah perkara biasa yang dipraktikkan oleh sistem kerajaan demokratik lain di seluruh dunia bagi memastikan suara kaum orang asli didengari apabila kerajaan cuba meluluskan perundangan dan polisi yang membabitkan masyarakat mereka."
Salah satu punca jurang perbezaan peluang yang dinikmati di kalangan kaum orang asli berbanding masyarakat lain di Australia ialah kerana kerajaan negara ini jarang sekali mengadakan perundingan dengan masyarakat orang asli ketika membuat perundangan dan polisi yang mampu memberi kesan terhadap masyarakat terbabit.
Professor Megan Davis
Namun tidak semua kaum orang asli Australia bersetuju dengan cadangan Suara ke Parlimen ini.

Antara pembangkang utama, Jacinta Nampijimpa Price, Senator Parti Liberal dari Northern Territory dan bekas Ketua Parti Buruh, Warren Mundine. Kedua-duanya mengetuai kempen undi “Tidak” kerana mereka yakin Suara ke Parlimen ini tidak akan mengubah nasib orang asli negara ini.  

Kini hari penentuan pungutan suara rakyat semakin dekat dan kedua-dua belah pihak “Ya” dan “Tidak” akan membentangkan pandangan masing-masing. Risalah atau juga akan dihantar ke setiap alamat pengundi yang layak mengundi.
SIDANG MEDIA JACINTA PRICE
Senator Parti Liberal Jacinta Nampijinpa Price menyertai seorang wanita kaum orang asli yang memakai bendera Australia di sidang media di bangunan Parlimen Canberra, Rabu, Mac 22, 2023. (AAP Image/Lukas Coch) NO ARCHIVING Source: AAP / LUKAS COCH/AAPIMAGE
Jurucakap, Evan Ekin-Smyth, berkata Suruhanjaya Pilihanraya kini sedang menyediakan kempen penerangan bagi membantu 17 juta rakyat Australia membuat pilihan.

“Suruhanjaya akan menyediakan ribuan pusat pembuangan undi di seluruh negara pada hari pungutan suara. Pusat pembuangan undi awal juga akan disediakan beberapa minggu sebelum tarikh pemungutan suara bagi mereka yang tidak dapat hadir pada tarikh mengundi. Pengundi yang berada di luar negara juga boleh mengundi melalui pos manakala mereka yang kurang keupayaan penglihatan boleh mengundi melalui telefon."

Pat Callanan yang juga dari Suruhanaya Pilihanraya menerangkan pelbagai sumber bantuan akan dikeluarkan bagi membantu pengundi.

"Suruhanjaya turut akan menyediakan sumber maklumat dalam 30 bahasa asing melalui laman web Suruhanjaya Pilihanraya Australia serta perkhidmatan penterjemahan melalui telefon."

Menurut Callanan, sekiranya anda tersenarai dalam daftar pengundi, maka anda layak mengundi dalam pungutan suara ini.

Ini bermakna pungutan suara bagi mereka yang layak mengundi adalah wajib.

Saranan beliau, “Anda hanya perlu mempunyai kerakyatan Australia untuk mengundi. Saranan suruhanjaya ialah sekiranya anda telah berpindah atau kurang pasti sama ada layak mengundi, sila layari laman web aec.gov.au untuk menyemak dan mengemaskini butiran peribadi anda."

Ekin Smyth pula mengingatkan semua akan kepentingan warga Australia mengguna hak mengundi mereka, namun menyarankan supaya pengundi membuat kajian untuk memahami isu penting ini.

Tambah beliau, “Fikir secara mendalam isu penting ini. Dalam pengundian pilihanraya, anda memilih calon yang ingin dilantik manakala dalam pemungutan suara rakyat, anda memilih isu."
Kaji secara mendalam, fikir sama ada untuk mengundi "ya" atau "tidak" dan pastikan anda mempunyai maklumat lengkap ketika membuang undi.
Evan Ekin-Smyth
Dan menurut Callanan, keputusan pungutan suara ini adalah muktamad.

“Tak kira apa pilihan anda, apa yang penting ialah penyertaan anda dalam pemungutan suara rakyat kali ini. Suruhanjaya Pilihanraya tidak kira apakah pilihan anda. Apa yang penting ialah mereka yang layak keluar mengundi bagi menentukan suara anda didengari."
Stay informed on the 2023 Indigenous Voice to Parliament referendum from across the SBS Network, including First Nations perspectives through NITV. Visit the to access articles, videos and podcasts in over 60 languages, or stream the latest news and analysis, docos and entertainment for free, at the .

Share