Petua Penyediaan Ujian Kewarganegaraan Australia

Ostrelea Dei Selebresen long Canberra

CANBERRA, AUSTRALIA - JANUARY 26: Ruth Deva-Prasanna dari India menunjuk Sijil Kewarganegaraan Australia dalam suatu upacara kewarganegaraan di Canberra. (Photo by Stefan Postles/Getty Images) Credit: Stefan Postles/Getty Images

Menjadi rakyat Australia ialah suatu langkah penting bagi setiap pendatang ke negara ini. Namun, sebelum anda layak menjadi seorang warga negara, terlebih dahulu anda perlu lulus ujian kewarganegaraan Australia. Ujian ini menguji pengetahuan anda mengenai sejarah, budaya, nilai dan sistem politik negara ini. 


Fakta Utama
  • Buku panduan rasmi ujian kewarganegaraan merangkumi segala topik yang perlu diketahui untuk menjalani ujian ini.
  • Ujian dijalankan dalam Bahasa Inggeris, justeru anda perlu memahami bahasa ini.
  • Beberapa persatuan komuniti tempatan turut menawarkan kelas persediaan serta sumber maklumat untuk membantu masyarakat setempat menduduki ujian kewarganegaraan.
Australia adalah sebuah negara berbilang kaum dengan lebih 270 kaum etnik yang menetap di negara ini.

Ia juga mempunyai masyarakat penduduk asal paling tertua di dunia dan sejak 1945, selepas peperangan dunia kedua, Australia telah menerima lebih tujuh juta pendatang ke negaranya.

Terdapat beberapa cara untuk memohon kewarganegaraan Australia.

Anda juga perlu memenuhi beberapa syarat sebelum layak memohon.

Lazimnya, wujud dua cara untuk memohon kewarganegaraan, iaitu melalui 'pengurniaan' dan 'keturunan'.
Eva Abdel-Messiah ialah seorang peguam migrasi yang telah banyak membantu pendatang mendapatkan kewarganegaraan mereka.

Menurut beliau, perkara yang paling penting sekali bagi setiap pemohon ialah memenuhi syarat-syarat 'residency' atau penetapan.

Untuk memenuhi syarat-syarat penetapan, pemohon perlu menetap di Australia dengan visa yang sah selama empat tahun tanpa keluar negara melebihi 12 bulan.

Pemohon perlu mempunyai hak bermastautin atau status 'permanent resident' dalam tempoh penetapan tahun terakhir sebelum permohonan dilakukan. Penetapan sementara tidak diterima dan pemohon juga tidak boleh berada di luar negara melebihi 90 hari dalam tempoh setahun sebelum tarikh permohonan.
Eva Abdel-Messiah

Selain memenuhi syarat-syarat penetapan di negara ini, pemohon berusia 18 tahun ke atas perlu membuktikan perwatakan yang bagus, iaitu berakhlak dan bernilai moral yang tinggi.

Selain itu:
  • Pemohon perlu berniat bermastautin di Australia atau jika berada di luar negara, perlu mengekalkan hubungan dengan negara ini,
  • Pemohon juga harus mempunyai sekurang-kurangnya pemahaman asas Bahasa Inggeris dan
  • Mempunyai sedikit pengetahuan mengenai Australia dan apakah ertinya menjadi rakyat negara ini. Segala aspek ini terkandung dalam ujian kewarganegaraan.
Menurut Abdel-Messiah, "Seorang dewasa dari usia 18 hingga 59 tahun perlu membukti pemahaman Bahasa Inggeris. Mereka perlu menjalani temuduga dan ujian kewarganegaraan."
KEVIN ANDREWS CITIZENSHIP TEST
Kevin Andrews, Menteri Immigresen dan Kewarganegaraan, memegang buku panduan Ujian Kewarganegaraan di Melbourne, Isnin, 1 Oktober, 2007. (AAP Image/Andrew Brownbill) Source: AAP / ANDREW BROWNBILL/AAPIMAGE
Jika anda memenuhi syarat-syarat kewarganegaraan, anda disaran mengulang-kaji.

Menurut Abdel-Messiah, ujian kewarganegaraan bertujuan menguji pengetahuan dan pemahaman pemohon tentang apakah ertinya menjadi seorang rakyat Australia.

Ia merangkumi pelbagai topik termasuk lambang Australia, peristiwa bersejarah, struktur kerajaan dan hak serta tanggungjawab seorang warga negara.

Ujian ini juga menguji pemahaman anda tentang pembentukan rang undang-undang di Australia serta menguji komitmen pemohon terhadap nilai-nali asas negara ini yang menjurus kepada nilai kebebasan, penghormatan dan keadilan.

Ujian kewarganegaraan berbentuk 20 soalan pelbagai pilihan atau multiple choice questions merangkumi pelbagai topik termasuk lambang Australia, peristiwa bersejarah, struktur kerajaan dan hak serta tanggungjawab seorang warga negara.

"Lima dari 20 soalan berdasarkan nilai menjadi seorang warga Australia dan pemohon tidak boleh membuat sebarang kesilapan. Markah kelulusan ialah 75% dan ini bermakna pemohon mempunyai ruang untuk melakukan sedikit kesilapan."

Namun di bawah seksyen nilai Australia, pemohon tidak dibenarkan membuat sebarang kesilapan. Kesilapan menjawab satu soalan dalam seksyen ini bermakna kegagalan seluruh ujian kewarganegaraan.
Eva Abdel-Messiah
Laman web Jabatan Hal-Ehwal Dalam Negeri Australia menyarankan ulang-kaji mengikut buku panduan terbitannya sendiri bertajuk “Australian Citizenship: Our Common Bond".

Panduan ini boleh didapati menerusi laman web homeaffairs.gov.au.

Buku panduan ini diterjemah ke 40 bahasa dan anda juga boleh mendengar isi kandungannya melalui podcast.

Segala maklumat yang diperlu untuk menduduki ujian kewarganegaraan terkandung dalam buku panduan ini.

Anda disaran memahami isi kandungannya dan mengambil nota untuk membantu mengingati maklumat yang terkandung.

Anda juga berpeluang mengambil ujian latihan melalui laman web ini secara percuma.

Eva Abdel-Messiah berkata bagi sesetengah golongan, akses melalui aplikasi telefon mungkin lebih mudah berbanding akses melalui komputer. 

"Aplikasi telefon amat berguna. Saya menyaran pelanggan saya memuat turun aplikasi ini dan mengulang kaji selama setengah hingga sejam setiap malam. Latihan juga boleh diperolehi melalui YouTube."

Memahami ketiga-tiga cabang kerajaan dan sistem parlimen persekutuan serta peranan gabenor general juga amat penting.

Ujian kewarganegaraan ini menguji pengetahuan anda mengenai peristiwa penting negara ini, juga sumbangan masyarakat asal orang asli serta pendatang baru ke negara ini.

Ujian ini dikendalikan hanya dalam Bahasa Inggeris, justeru amat penting bagi anda memahami Bahasa ini.

Warga Australia menyambut Hari Australia meskipun tarikh sambutan hari terbabit masih dipertikaikan.
Warga Emas suku kaum Ngunnawal, Tina Brown, dan penari kaum orang asli membuat persembahan di upacara menaikkan bendera dan kewarganegaraan di Lake Burley Griffin pada Januari 26, 2020 di Canberra, Australia. Masyarakat orang asli Australia menggelar hari ini sebagai Hari Pencerobohan tanahair mereka oleh orang Inggeris atau 'Invasion Day'. Sokongan terhadap tuntutan menukar tarikh ini ke suatu tarikh yang boleh disambut oleh semua warga Australia kian meningkat. (Photo by Wendell Teodoro/Getty Images) Credit: Wendell Teodoro/Getty Images
Pemohon disaran membaca dan mengenali perkataan-perkataan asas yang penting bagi membantu memahami soalan ujian.

"Saranan saya kepada pelanggan supaya mendengar berita dan membaca suratkhabar dalam Bahasa Inggeris. Lakukan ujian latihan sekurang-kurangnya seminggu sekali kerana tarikh ujian mungkin ditetapkan antara enam hingga sembilan bulan dari tarikh permohonan ujian," tambah Eva Abdel-Messiah.

Jika anda perlu bantuan memahami buku panduan atau anda perlu bantuan memahami Bahasa Inggeris, sila hubungi badan sukarelawan melalui majlis perbandaran berdekatan anda.
Antara pertubuhan yang mampu membantu, perkhidmatan Sydwest Multicultural Services di NSW dan pusat pelarian dan penghijrahan, Southern Migrant and Refugee Centre di Victoria.

Menurut Vikki Hine dari Sydwest, pertubuhan ini telah banyak membantu pendatang baru dan penduduk tetap dalam persiapan mereka menduduki ujian kewarganegaraan.
Ramai yang memerlukan bantuan persediaan ujian kewarganegaraan serta memahami betapa pentingnya pengurniaan kewarganegaraan itu dari segi perlindungan dan jaminan yang diperolehi.
Vikki Hine
Kursus ini terbuka kepada semua pendatang tak kira latar belakang. Mereka yang berstatus pelarian layak menerima perkhidmatan penetapan dalam tempoh lima tahun dari tarikh ketibaan ke negara ini.

Sydwest telah menubuhkan kelas ujian kewarganegaraan pertama di Sydney pada tahun 2014.

Sejak itu, ratusan pelanggannya lulus dalam ujian dan menerima sijil kewarganegaraan mereka.

"Mereka mengulangkaji setiap soalan dan mengambil bahagian dalam perbincangan bagi memahami secebis sejarah Australia. Mereka juga mengambil mengambil bahagian dalam lawatan sosial untuk membantu mengenali daerah penetapan mereka. Umpamanya, lawatan telah diadakan ke Katoomba yang memberi peluang kepada peserta menghayati kisah hidup peneroka awal negara ini."
HARI AUSTRALIA 2017 BRISBANE
Warga baru Australia memegang sijil yang diterima dalam upacara pengurniaan kewarganegaraan pada sambutan Hari Australia di Brisbane, Khamis, Januari 26, 2017. (AAP Image/Dan Peled) Source: AAP / DAN PELED/AAPIMAGE
Saranan Vikki Hine, "Cuba menjawab segala soalan, memahaminya dengan penuh untuk menghayati apakah ertinya menjadi seorang warga Australia."

Tambah beliau, mengambil bahagian dalam sambutan kebudayaan negara ini juga akan membantu pemohon memahami dengan lebih mendalam nilai menjadi seorang warga Australia berbanding setakat menghafal fakta dan angka.

"Ini termasuk menghadiri barbeku, berkelah serta melawat kebun bunga dan taman haiwan tempatan. Segalanya boleh dijadikan pengalaman untuk menimba ilmu mengenai Australia."

Manakala Eva Abdel-Messiah turut menekankan kesilapan yang sering dilakukan oleh pemohon.

Saranan beliau, baca soalan dengan teliti, pastikan anda tidak melebihi masa dan jangan tergopoh-gapah menjawab soalan.

Kata beliau, "Setiap pemohon diberi peluang tiga kali untuk menjalani ujian. Namun, selepas kali ketiga, permohonan kewarganegaraan akan ditolak. Jika perkara ini berlaku, pemohon perlu membuat permohonan ujian kewarganegaraan yang baru."

Share